Thursday, October 15, 2009

Toleransi Antara Kaum

Toleransi Antara Kaum di Malaysia :
Masih Ampuhkah?


1. Konsep dan Definisi Toleransi

Kamus Dewan Edisi Ketiga mendefiniskan toleransi sebagai bersikap toleran yang merujuk kepada sedia menghormati atau menerima pendapat atau pendirian orang lain yang berbeza dengan pendirian atau pendapat sendiri. Manakala menurut Longman Dictionary Comtemporary English (2003), perkataan toleration (toleransi) bermaksud:

Willingness to allow people to believe what they want without being criticized or punishment.

Ertinya kemampuan untuk membenar dan menerima apa yang dipercayai oleh individu tertentu tanpa mengkritik atau menghukum. Toleransi menjurus kepada sikap keterbukaan untuk menerima sesuatu perkara atau agenda dengan baik untuk seseorang individu atau kumpulan tanpa ada syak wasangka buruk. Dalam bahasa Arab ia bermaksud tasamuh. Dalam Kamus Dwibahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ada memberi erti kesabaran; tasamuh.

Menurut pendapat Dr. Abd Monir Yaacob, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (2003), toleransi sebagai satu sikap pegangan kehidupan dalam masyarakat memberi erti tidak idealisme, tidak fanatik, tidak selfish - mementingkan diri sendiri; mempunyai sikap keterbukaan, realistik, muafakat, tolak ansur, sabar dan menghormati hak orang lain. Orang yang mengamalkan sikap toleransi berupaya menanggung sesuatu tekanan atau berupaya menerima kesusahan dan kritikan, boleh berkorban untuk orang lain dan bersikap terbuka dan lapang dada. Ciri-ciri tersebut adalah penting dihayati dalam masyarakat majmuk supaya keharmonian dapat dicapai.

Keharmonian tidak dapat dicapai sepenuhnya tanpa sikap toleransi dan dengan buruk sangka. Bagi melahirkan keharmonian yang berterusan memerlukan ``kejinakan hati'' antara lapisan masyarakat. Perlu ada keserasian dalam kehidupan dengan menghindar ``buruk sangka dan kesangsian''. Dalam sebuah rumah tangga memerlukan kejujuran, keikhlasan dan amanah. Mewujudkan suasana kasih sayang dan kemesraan.

Sebagai sebuah negara yang sedang melangkah ke arah status negara maju, masyarakat yang perlu dibina mestilah bermoral dan beretika, iaitu sebuah masyarakat bersatu padu yang mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang kukuh serta bersikap toleransi. Justeru, sukatan Pendidikan Moral KBSM (2000) memasukkan nilai toleransi dalam Bidang Pembelajaran 1: Nilai Berkaitan Dengan Perkembangan Diri. Menurut buku sukatan ini, toleransi didefinsikan sebagai kesanggupan bertolak ansur, sabar dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham demi kesejahteraan hidup.

Kenyataan di atas juga berkaitan dengan nilai hormat, keadilan, kebebasan, dan semangat bermasyarakat seperti yang tertera dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Dalam KBSM, pemupukan nilai ke 16, iaitu semangat bermasyarakat bertujuan menggariskan kesediaan melakukan sesuatu dengan semangat kekitaan demi kepentingan bersama bagi mewujudkan keharmonian hidup dalam bermasyarakat. Untuk mempastikan kejayaan nilai ini disemai dalam kalangan pelajar, nilai toleransi perlulah diperkukuhkan.

Pada tahun 1991, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengemukakan Wawasan 2020 yang menggariskan sembilan cabaran. Cabaran kelima menjurus kepada pentingnya toleransi iaitu mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan idea, kebudayaan dan kepercayaan agama masing – masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan kepada negara.
Wan Zahid (1988) dalam Dr. Tajul Ariffin dan Dr. Nor’ Aini (1992) menegaskan sistem pendidikan merupakan wadah utama untuk membentuk identiti anak bangsa, menjadi alat terpenting untuk menjayakan pembangunan negara, berfungsi sebagai wahana yang kukuh untuk mencapai perpaduan serta kesejahteraan bangsa dan negara. Pendidikan yang mampu menghadapi cabaran dan tuntutan harus mempunyai paksi atau teras yang kukuh.

Justeru, Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1961 serta berasaskan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 yang mengutamakan perpaduan sebagai matlamat utama pendidikan telah mengalami beberapa kali kajian semula untuk mempastikan matlamat untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu, hidup berharmoni, dan berdisiplin tercapai. Dan, untuk mencapainya, nilai toleransi perlu diperkukuhkan kerana ia melibatkan gabungan budaya serta agama masyarakat majmuk Malaysia.

Sehubungan itu, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mensasarkan agar dapat melahir dan memperkembang potensi individu secara menyeluruh serta bersepadu berharap agar rakyat Malaysia kelak dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat serta negara.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sinonim dengan Islam Hadhari telah menggariskan sepuluh prinsip utama Islam Hadhari. Pembangunan ekonomi yang seimbang (prinsip kelima), kehidupan berkualiti (prinsip keenam) dan kekuatan pertahanan serta perpaduan (prinsip kesepuluh) memerlukan toleransi antara kaum untuk mencapainya. Tanpa toleransi, kuasa ekonomi tidak akan dapat dibahagi sama rata. Kepincangan keseimbangan ekonomi akan menggugat kehidupan yang berkualiti dan ini boleh menghancurkan kekuatan pertahanan serta perpaduan.

Akibat ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum maka wujudlah pelbagai spekulasi, iri hati, dan kurang senang yang berterusan di kalangan masyarakat dan akhirnya berlakulah peristiwa hitam 13 Mei. - Dewan Siswa, September 2005

Jelasnya, nilai toleransi berkaitan dengan sikap tolak ansur serta sikap liberal individu dalam masyarakat bagi menjamin keharmonian dan kemakmuran negara. Merujuk kepada kupasan umum di atas, dapatlah dikatakan bahawa tanpa nilai toleransi yang kukuh matlamat KBSM, KBSM, Wawasan 2020, dan Dasar Pendidikan Kebangsaan mungkin tidak akan tercapai.

Persoalannya : masih ampuhkan lagi toleransi antara kaum di Malaysia setelah 48 tahun merdeka dan masih utuhkah lagi kontrak sosial kaum di Malaysia setelah pembangunan dan kemajuan negara mula dirasai ?

Tugasan ini akan cuba mengupas sebaik mungkin nilai toleransi dalam masyarakat Malaysia sebelum kemerdekaan, semasa menuntut kemerdekaan, selepas kemerdekaan dan masa kini. Mengapakah nilai ini begitu penting sehingga menjadi salah satu nilai yang perlu disemai melalui Pendidikan Moral ? Skop persoalan dan permasalahan di atas akan cuba dikupas dari sudut sejarah kemerdekaan dan pendidikan negara, sebaik mungkin, Insya Allah.

2. Toleransi Antara Kaum di Malaysia Sebelum Merdeka

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu yang bermula pada 8 Disember 1941 sehingga 1943 mendatangkan kesan besar terhadap hubungan antara kaum di Tanah Melayu selepas perang terutamanya hubungan antara orang Melayu dan Cina. Faktor utama yang mewujudkan masalah ini ialah Jepun memberi layanan yang berbeza terhadap kedua – dua bangsa iaitu bersikap baik terhadap orang – orang Melayu sebaliknya menzalimi orang - orang Cina rentetan permusuhan yang wujud antara Jepun dengan negara China dalam Perang China – Jepun ekoran penaklukan Jepun ke atas Manchuria. Dalam masa yang sama pihak Jepun menggunakan orang – orang Melayu sebagai polis Jepun (Kempetei) bagi menangkap orang – orang Cina telah menimbulkan rasa dendam yang mendalam di kalangan orang Cina.

Polemik perkauman ini meruncing selepas pengunduran Jepun dari Tanah Melayu pada 15 Ogos 1945 apabila Jepun diisytiharkan kalah oleh British dan kelompongan kuasa selama tiga minggu di Tanah Melayu sebelum ketibaan semula kuasa British memberi kesempatan kepada Parti Komunis Malaya ( PKM ) yang sebahagian keahliannya terdiri daripada bangsa Cina keluar dari hutan dan melakukan pembunuhan serta huru – hara sebagai membalas dendam ke atas orang – orang Melayu. PKM menubuhkan “mahkamah rakyat” bagi membicarakan orang – orang yang dituduh bersubahat dengan Jepun dan dijatuhi hukuman mati. Ketakutan kepada Bintang Tiga ini telah menjadi ketakutan kepada bangsa Cina di kalangan orang – orang Melayu.


Masyarakat Melayu hilang kepercayaan terhadap orang – orang Cina apabila tentera – tentera Bintang Tiga mula menggangu upacara keagamaan di surau dan masjid. Selain untuk menjaga maruah bangsa dan agama, orang – orang Melayu bimbang kemungkinan Tanah Melayu akan jatuh ke tangan komunis. Keadaan ini disokong oleh Ahmat Adam, iaitu :
“Seperti disentak, orang Melayu tiba – tiba merasakan bahawa kemungkinan Tanah Melayu jatuh ketangan bangsa Cina sudah menjadi kenyataan. Maka berlakulah, dalam tahun – tahun akhir 1945 dan awal 1946, pergaduhan dalam beberapa tempat dan daerah paling teruk di landa pergaduhan antara Melayu dan Cina iaitu di Batu Pahat – Muar dan Sungai Manik, dekat Teluk Intan.” - Rohani Ab. Ghani dan Zulhimi Paidi (2002). Kenegaraan Malaysia Isu – Isu Pembangunan

Berdasarkan sorotan sejarah di atas, jelas membuktikan perkataan ‘perkauman’ sering sinonim dengan bibit – bibit perpecahan, cauvanis, prasangka dan prejudis serta sensitiviti. Pergelutan antara orang Melayu dan Cina membawa keretakan hubungan akibat kesan penjajahan. Jelasnya, tidak ada unsur toleransi antara kaum ketika itu kerana kehidupan sering diselaputi dengan perasaan dendam dan benci yang membawa kepada pergaduhan dan pembunuhan. Secara umumnya tempoh pengosongan kuasa selama 14 hari itu menampakkan kepada kita tentang betapa seriusnya masalah perhubungan kaum ketika itu.

Ringkasan kata Wan Zahid (1988), pendidikan adalah punca segalanya. Pergelutan yang berlaku juga berpunca dari dasar pendidikan British kepada sekolah Cina. Dalam pembinaan sekolah Cina, British mengamalkan sikap tidak campur tangan, malah menentang keras pembiayaan pembinaan sekolah Cina. Justeru, sekolah Cina dibuka atas usaha individu atau persatuan Cina yang mendapat pembiayaan dari Republik Rakyat China. Ideologi kuomintang sinonim dengan sekolah Cina ketika ini yang mahu menyebarkan fahaman komunis.

Adalah menjadi matlamat British untuk tidak memaju dan menyatupadukan masyarakat Tanah Melayu ketika itu melalui sistem pendidikan. Akibatnya wujudlah lima jenis sistem persekolahan yang sama sekali terasing antara satu sama lain. Setiap sekolah menggunakan sukatan (kurikulum),sistem pendidikan serta bahasa idunda sendiri yang lebih mirip kepada kesetiaan kepada negara asal kaum tersebut. Inilah dasar ”pecah dan perintah” yang diamalkan oleh British.

Ringkasnya, dapatlah dikatakan ketika sebelum merdeka, nilai toleransi antara kaum di Malaysia tidak berkembang dengan baik. Setiap kaum memperjuangkan nasib kaum sendiri tanpa menghiraukan nasib kaum yang lain. Jelasnya, tiada intergasi nosional ketika itu kesan dari dasar ”pecah dan perintah” British. Ketika itu wujud pelbagai masalah sosioekonomi kerana jurang pendidikan yang ketara di antara tiga kaum utama di Tanah Melayu, iaitu Melayu, Cina dan India.
3. Toleransi Antara Kaum di Malaysia Semasa Menuntut Kemerdekaan
Bagi memulihkan Tanah Melayu , British Military Administration ( BMA ) membubarkan PKM yang mendapat sokongan British bagi mengusir Jepun semasa perang. BMA memberi ganjaran $360 kepada setiap gerila dan berjanji menolong mereka mencari pekerjaan bagi memulakan hidup baru. Lain pula bagi orang – orang Melayu. BMA digunakan sebagai ‘pemacu’ kepada niat British untuk mewujudkan perubahan Perlembagaan Tanah Melayu, iaitu Malayan Union. BMA bertindak membicarakan penduduk Malaya yang tidak setia dan bersubahat dengan Jepun dengan mengemukakan Perintah Darurat.

Berdasarkan itu, British mengemukakan cadangan Malayan Union sebagai satu ‘ hukuman’ kepada orang Melayu yang pro-Jepun dan sebagai ganjaran kepada orang Cina yang pro-British. Malayan Union diisytiharkan pada Januari 1946 yang dikenali sebagai Kertas Putih. Malayan Union merupakan satu muslihat British bagi menukar bentuk pemerintahannya ke atas Tanah Melayu dari bentuk naungan kepada bentuk jajahan dan dasar ‘Pecah - Perintah’

Pengenalan Malayan Union menjadi titik tolak yang sangat penting dalam menyatukan minda dan semangat perjuangan kebangsaan orang – orang Melayu dalam menentang penjajah. Penentangan ini berpunca dengan ketidakpuasan hati orang – orang Melayu dengan cara tandatangan Raja – raja Melayu diambil oleh MacMicheal yang menggunakan ugutan menurunkan takhta mereka kerana mempunyai bukti yang cukup menyatakan Raja – raja Melayu menyokong Jepun. Tambahan pula, orang – orang Melayu juga berpandangan bahawa prinsip kerakyatan yang berbentuk Jus Soli akan menyebabkan mereka kehilangan kedudukan sebagai rakyat pribumi Tanah Melayu.

Maka tidaklah menghairankan apabila kerajaan British cuba menubuhkan gagasan Malayan Union dalam tahun 1946, yang menentangnya ialah orang Melayu seluruhnya, tidak kaum Cina dan India. Mengapa ? Kerana Malayan Union bertujuan sebagai koloni British ( atau sebagai kawasan yang disebut British Malaya ) yang akan menguntungkan kaum pendatang. Kaum pendatang atau kaum bukan Melayu yang datang dari negeri – negeri dari luar kawasan Melayu – Islam tidak dianggap sebagai rakyat raja Melayu, dan sudah tentu orang bukan Melayu tidak menganggap raja Melayu sebagai raja mereka juga, jadi tidak perlu mereka taat kepada raja Melayu. Jelasnya, kaum pendatang umpama menunggu rezeki datang bergolek untuk diiktiraf sebagai penduduk Tanah Melayu sedangkan penduduk Tanah Melayu yang merupakan penduduk asal Tanah Melayu terpaksa bergadai kerakyatan akibat dasar penjajahan British. Adakah ini toleransi antara kaum ?

Apa yang sangat ketara sepanjang tempoh kegelisahan orang Melayu menentang Malayan Union ialah tidak ada reaksi dari masyarakat bukan Melayu terutamanya masyarakat Cina yang pada masa itu mempunyai pengaruh politik dan kewangan yang jauh lebih besar berbanding dengan bangsa – bangsa lain di Tanah Melayu terhadap perjuangan masyarakat Melayu. Sikap seperti menangkuk di air keruh ini, membuktikan bahawa kemelut perjuangan itu hanyalah berkisar pada orang Melayu dan orang bukan Melayu hanya memerhati dan melihat apa saja yang akan berlaku.

Tepatlah kata Wan Zahid (1988), pendidikan adalah punca segalanya. Berpunca dari pelaksanaan Sekolah Vernakular British yang mempunyai empat aliran. Keadaan ini sesuai dengan dasar British Devide and Rule yang bertujuan memecahkan perpaduan kaum dan juga menebalkan semangat kedaerahan dalam kalangan rakyat. British bimbang penyediaan pendidikan untuk kaum pribumi akan menimbulkan kesedaran untuk menentang British. Namun, atas desakan sultan dan para pembesar Melayu, British akhirnya bersetuju menyediakan pendidikan untuk orang Melayu, itu pun sekadar pendidikan rendah sahaja. Jadi tidak hairanlah, mengapa orang Melayu sahaja yang menentang Malayan Union.

Malahan, kedudukan selesa yang diberikan oleh British dalam pendidikan kepada kaum Cina turut mempengaruhi keadaan. Bermula pada tahun 1924, British memberi bantuan kewangan kepada sebahagian besar sekolah – sekolah Cina di Tanah Melayu bertujuan menyekat kemasukan fahaman politik kuomintang. Menjelang 1938, terdapat 305 buah sekolah Cina bantuan penuh. Perkembangan pada dekad tersebut memperlihatkan bahawa sekolah – sekolah Cina telah dapat meneruskan pendidikan sehingga peringkat menengah atas sedangkan pendidikan sekolah – sekolah Melayu hanya sekadar pendidikan rendah sahaja.

Persekutuan Tanah Melayu dirasmikan pada 1 Februari 1948 yang mengiktiraf kedaulatan tiap – tiap pemerintah ( raja ) di negerinya sendiri serta melindungi ‘kedudukan istimewa’ orang Melayu dan dalam masa yang sama berusaha menjaga kepentingan kaum – kaum lain. Malah diwujudkan satu kewarganegaraan bersama untuk semua orang yang menganggap Persekutuan Tanah Melayu sebagai tanah air mereka dan sanggup memberikan kesetiaan kepada Tanah Melayu. Dari sini toleransi antara kaum di Tanah Melayu mula berputik. Orang Melayu berpuas hati apabila Persekutuan Tanah Melayu mengiktiraf kedaulatan Sultan – sultan Melayu dan hak negeri serta dalam masa yang sama kaum pendatang atau bangsa lain yang berada di Tanah Melayu boleh menjadi warganegara Tanah Melayu dengan syarat dan peraturan tertentu.

Gerakan komunis di Tanah Melayu dimonopoli oleh penduduk keturunan Cina, dan ramai menganggap bahawa gerakan itu merupakan gerakan orang Cina. Sebaliknya pula, kebanyakan daripada anggota pasukan keselamatan kerajaan terdiri dari orang Melayu sama ada dalam Pasukan Polis atau pun Askar Melayu. Namun demikian, parti – parti politik berhaluan kiri seperti PUTERA ( Pusat Tenaga Rakyat ) dan AMCJA tidak berpuas hati kerana British menolak cadangan Perlembagaan Rakyat ( The People’s Constitutional Proposal ) yang dikemukakan mereka membawa kepada tercetusnya Darurat pada tahun 1948. Darurat yang berlangsung selama 12 tahun mendatangkan kesan yang besar dalam aspek sosio-ekonomi dan politik di negara ini. Salah satu kesan yang paling ketara ialah ketegangan yang wujud dalam hubungan kaum di negara ini. Faktor utama kepada perkembangan ini ialah kerana gerakan komunis di Tanah Melayu didominasikan oleh orang – orang Cina manakala satu pihak lagi iaitu di pihak pasukan keselamatan terdiri dari orang – orang Melayu. Zainal Abidin bin Abdul Wahid dalam Rohani Ab. Ghani dan Zulhilmi Paidi (2002) mengulas :

Semasa darurat, anak – anak muda Melayu berjuang berputih tulang mempertahankan tanahair mereka demi menyahut seruan pemimpin Melayu (UMNO) supaya tampil memikul senjata melawan PKM sedangkan pemuda – pemuda Cina dan India bertindak melarikan diri ke India dan China apabila kerajaan mewajibkan penduduk lingkungan 20 – 30 an menjadi pasukan keselamatan pada tahun 1950. Antara 1949 hingga 1951, hanya kira – kira 200 belia Cina yang menganggotai pasukan keselamatan. Sambutan dingin ini jelas menunjukkan sikap sebenar mereka terhadap Tanah Melayu, malah ia turut mendapat kritikan hebat dari Pesuruhjaya Tinggi British pasa masa itu iaitu Sir Henry Gurney yang mendakwa bahawa : “…..mereka hanya hidup bersenang lenang dan menumpukan tenaga semata – mata untuk mencari kekayaan.”

"pada waktu itu tidak ada satu institusi pun yang boleh menjadi badan yang menyatukan rakyat Tanah Melayu kerana orang Cina dengan kecinaannya, orang India dengan keindiaannya dan orang Melayu pula setia hanya kepada rajanya.?”Ungku Aziz

Berdasarkan kenyataan itu, toleransi antara kaum ketika itu amat rapuh dan dipengaruhi oleh keadaan semasa. Darurat kemudiannya ditamatkan pada tahun 1960 iaitu selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dengan sekali lagi mempertaruhkan toleransi antara kaum semasa proses awal menuntut kemerdekaan .


4. Toleransi Antara Kaum Selepas Merdeka

Dalam perundingan antara kaum untuk mencapai kemerdekaan dari kerajaan British, dua jenis persetujuan “tolak ansur” dicapai antara bangsa Melayu dengan kaum bukan Melayu. Pertama, orang bukan Melayu hendaklah menerima hakikat bahawa orang Melayu adalah “waris” Tanah Melayu, maka warisan Melayu serta kedaulatan Raja – raja Melayu dikekalkan, dijamin dan dipelihara selepas kemerdekaan. Keduanya, orang Melayu bersetuju :

1. bahawa tiap – tiap penduduk Tanah Melayu yang lahir di Tanah Melayu sebelum Hari Merdeka hendaklah diterima sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu melalui proses undang – undang; ini bererti bahawa semua kaum pendatang dan penduduk Tanah Melayu yang sebelum itu bertaraf “bukan rakyat” Tanah Melayu yang lahir di Tanah Melayu sebelum Hari Merdeka secara automatik ( melalui proses undang – undang ) menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.

2. hak budaya kaum lain, termasuk bahasa dan agama mereka, dipelihara, yakni tidak dihapuskan, dan

3. orang Melayu bersetuju berkongsi dengan kaum – kaum bukan Melayu dalam pemerintahan negeri ini.

Inilah dua persetujuan “tolak ansur” yang dicapai antara orang Melayu dengan kaum bukan Melayu dalam perundingan antara kaum untuk mendapatkan kemerdekaan dari British. Inilah kontrak sosial yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu selepas kemerdekaan. Antara isi kontrak sosial yang tercetus dari toleransi antara kaum di Tanah Melayu ialah :

1. Agama Islam ialah agama (rasmi) Persekutuan, tetapi agama – agama lain boleh diamalkan dengan aman dan selamat.

2. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa urusan rasmi kerajaan, tetapi bahasa – bahasa kaum lain boleh digunakan, dipelajari, diajarkan dan dipelihara.

3. Menurut Artikel 153 Perlembagaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertanggungjwab menjaga dan memelihara kedudukan ‘istimewa’ orang Melayu ( termasuk penduduk peribumi Sabah dan Sarawak ) dalam bidang pendidikan, perkhidmatan awam, ekonomi dan perniagaan, serta hak Melayu terhadap tanah rizab mereka.

Itulah kontrak sosial yang telah dipersetujui dalam perundingan antara orang Melayu dengan kaum bukan Melayu untuk mencapai kemerdekaan yang didasari unsur toleransi. Jika hari ini ada pihak atau kaum tertentu yang membuat tuntutan baru yang dianggap oleh kaum lain sebagai tuntutan untuk mengubah atau mencabar kontrak sosial ini, perpaduan kaum dan kestabilan politik di negara ini pasti akan terancam.

Cukuplah sekali peristiwa hitam 13 Mei 1969 menjadi pengajaran betapa pentingnya perpaduan. Tragedi tersebut telah memberikan keinsafan dan pengajaran peri pentingnya negara mempunyai pengarahan yang lebih jelas dan tersusun dalam rangka perpaduan antara kaum. Fonomena itu telah mencetuskan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara. Kedua – dua dasar ini secara umumnya bertujuan untuk memupuk perpaduan kaum dan saling bertoleransi. Malah salah satu prinsip Rukun Negara ialah menjaga kesopanan dan kesusilaan yang menjurus kepada kehidupan berkualiti.

Dasar Ekonomi Baru ( DEB ) pada 1970 yang merupakan serampang dua mata kerajaan bagi membasmi kemiskinan serta menyusun semula masyarakat bagi memulihkan intergrasi antara kaum. DEB dirancang untuk tempoh 20 tahun iaitu sehingga tahun 1990 kerana kerajaan Malaysia menyedari ketidakseimbangan sosioekonomi menyukarkan proses perpaduan antara kaum yang memusnahkan nilai toleransi. Matlamat dasar ini ialah mewujudkan perpaduan negara dengan mengurangkan perbezaan ekonomi, sosial, kebudayaan, penempatan dan sebagainya. DEB bertindak menggalak dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar; membangunkan sebuah masyarakat yang progresif, supaya semua rakyat menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi di samping mempunyai nilai – nilai sosial dan kerohanian yang positif serta menghayati dan memupuk semangat cintakan negara.

Zaman DEB bukan hanya menitikberatkan pembangunan masyarakat Melayu tetapi juga memberi penekanan terhadap masalah politik: bagaimana untuk mengukuhkan perpaduan nasional dan keamanan sosial. Masalah utama yang dihadapi oleh kerajaan pada masa itu adalah mencari pendekatan terbaik untuk menyatu dan menjadikan masyarakat Malaysia sebuah bangsa yang kaya dengan kesedaran sivik. Maka kerajaan memperkenalkan “Rukun Negara” bagi mewujudkan penyatuan yang menyeluruh antara kaum – kaum di Malaysia. Setelah berakhirnya DEB, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pula dilancarkan yang meletakkan perpaduan negara sebagai matlamat utama kerana masyarakat yang bersatu padu memainkan peranan penting untuk memperkukuhkan kestabilan negara dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan.

Seterusnya bagi memperkasakan toleransi antara kaum di Malaysia, Dasar Pendidikan Kebangsaan telah digubal. Kepentingan perpaduan melalui pendidikan wujud lebih awal sebelum kemerdekaan. Dasar Pendidikan Kebangsaan secara keseluruhannya berusaha mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia sejak dari bangku sekolah dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama untuk menyemai nilai – nilai murni, kurikulum dan peperiksaan yang sama serta bercorak kebangsaan. Motif yang sama juga diperluaskan melalui Wawasan 2020 yang menggariskan sembilan cabaran. Antarannya ialah membentuk masyarakat bersatu padu dan mewujudkan masyarakat yang toleran yang bertolak ansur serta liberal sekaligus meletakkan kesetiaan kepada satu negara sahaja iaitu Malaysia.

Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) jelas memfokuskan kepada memperkukuhkan sistem pendidikan bagi menggalakkan integrasi nasional dan mempertingkatkan mutu pendidikan bagi membina masyarakat progresif berasaskan sains dan teknologi. Laporan Jawatankuasa Kebinet Mengenai Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) dan dalam Rancangan Malaysia Keempat (1981-1985), terdapat kenyataan bahawa matlamat utama Pendidikan Moral ialah membina suatu asas yang kuat untuk mengembangkan satu masyarakat yang berdisiplin. Begitu jugalah Rancangan Malaysia Kelima (1986–1990) yang memfokuskan pendidikan adalah matlamat untuk memupuk perpaduan negara.

Justeru, pendemokrasian pendidikan merupakan satu – satunya jalan bagi mengatasi masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan British dan mencapai matlamat membentuk sebuah negara yang berdaulat. Penyata Razak (1956), Penyata Rahman Talib (1960) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (1961) merupakan dasar kerajaan yang menjurus kepada pendemokrasian pendidikan. Satu sistem pendidikan yang bertunjangkan kepada kurikulum dan sistem pendidikan yang sama untuk semua kaum berteraskan kepada kesetiaan kepada negara Malaysia. Jelasnya, dengan pelaksanaan dasar kerajaan yang berkesan, toleransi antara kaum selepas merdeka di Malaysia semakin kukuh dan mampan .

5. Toleransi Antara Kaum Masa Kini

Berdasarkan beberapa dasar kerajaan yang disebutkan di atas dapatlah disimpulkan nilai toleransi yang menjadi pemangkin perpaduan dipahat sejak awal usia warganegara Malaysia. Dewasa ini, kita boleh berkongsi raya, berkahwin campur, menghantar anak – anak ke sekolah kaum lain dan seumpamanya yang menggambarkan keterbukaan dan keutuhan perpaduan masyarakat Malaysia menuju era pembangunan mahupun globalisasi.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Khoo Kay Kim dalam Dewan Budaya ( Mac 2004 ) menyatakan sejumlah 60 000 pelajar Melayu bersekolah di sekolah Cina. Malah gabungan MIC, MCA dan UMNO dalam Barisan Nasional yang mewakili tiga kaum utama Malaysia memberi impak kepada toleransi dalam perkongsian pentadbiran negara dan kemenangan besar Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2004 lalu membuktikan toleransi antara kaum telah kukuh wujud. Tanpa mengira siapa calon dan agamanya, pengundi di Malaysia tetap mengundi calon yang dinaungi oleh Barisan Nasional. Malah filem Mahligai Gading yang menyaksikan gabungan tiga kaum utama di Malaysia memberi impak kepada perpaduan negara yang memerlukan toleransi antara kaum.

6. Sejauh manakah Toleransi Antara Kaum di Era Globalisasi
Berdasarkan huraian di atas, toleransi di Malaysia nampak ampuh kerana berupaya mengekalkan perpaduan dan kestabilan politik negara hingga ke hari ini. Namun jika dilihat kajian Identiti Nasional dan Etos Bangsa oleh Nor Hashimah et al., (2004) menampakkan satu isu yang perlu dikawal agar toleransi yang telah dan sedang disemai sentiasa tersemat dalam jati diri masyarakat Malaysia.

“Building a nation out of diverse people with differing historical, ethnic, linguistic, religious, cultural and geographical backgrounds is something more than just fostering consensus on the basic character of a state or nation. It involves the fostering of (1) shared historical experiences, (2) shared values, (3) a feeling of common identity and (4) shared destiny that transcends ethnic bounds without undermining ethnic identity, (5) loyalty, (6) commitment and an (7) emotional attachment to the nation, and the flowering of distinctly national ethos. The emergence of all these factors in turn involves other prerequisites” ( 31 January 1992) Secara ringkasnya, kajian identiti nasional dikaitkan dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, manakala etos bangsa berasaskan kenyataan Tun. Dr. Mahathir Mohamad, iaitu :

Dari jawapan 500 orang responden, menunjukkan aspek umum yang tidak mengganggu kepentingan kehidupan mana – mana bangsa mendapat sokongan yang padu. Contohnya sikap bangga raja, kibar bendera dan kerajaan berjaya menjaga kestabilan negara. Walau bagaimanapun, bagi aspek yang menyentuh kepentingan kaum, peratus sokongannya berbelah bagi. Contohnya dalam kes bahasa Inggeris di papan tanda. Orang Melayu menunjukkan skor yang rendah pada bahasa Inggeris sedangkan bukan Melayu selesa dan menyokong bahasa Inggeris.

Jawapan dalam soal selidik yang melibatkan etos bangsa juga memperlihatkan keadaan yang sama. Contohnya penurunan peratus bagi kumpulan Bumiputera – Melayu menunjukkan mereka rasa kerugian etnik dalam perkongsian kuasa politik dengan kumpulan etnik yang lain. Peratus penerimaan agama Islam dan bahasa Melayu sebagai agama rasmi dan bahasa rasmi negara di kalangan bukan bumiputera agak rendah dan 74 peratus dapatan ini menandakan kesangsian mereka terhadap pandangan Tun Dr. Mahathir yang telah mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam. Mereka juga menolak program khidmat negara malah kewujudan orang Melayu dan bahasanya tidak dianggap sebagai faktor dominan dan penting kerana mereka boleh hidup tanpa bangsa Melayu, bahasa Melayu dan budaya Melayu.

Jangan kita lupa akan serangan globalisai yang menghakis jati diri warganegara Malaysia. Satu bentuk penjajahan baru. Berdasarkan kajian Identiti Nasional dan Etos Bangsa dalam Dewan Budaya ( Ogos 2004 ) menampakkan unsur – unsur sebelum kemerdekaan ( perkauman ) mungkin berputik kembali jika percaturan pandangan dan pendapat tentang hak – hak tertentu tidak diteliti dan diambil tindakan segera agar kesatuan dan kesepakatan sebagai bangsa Malaysia tetap wujud walau di mana warganya berada.

Terdapat dua punca yang dapat dikesan. Punca pertama ialah pengajaran pelajaran Sivik (Tata Rakyat) ataupun Pendidikan Moral tidak dipandang serius serta diajar sambil lewa sahaja. Arfah Aziz (1979) dalam Abdul Rahman Arof (1986) berpendapat bahawa mata pelajaran Sivik yang diajar sekali seminggu tidak dapat meninggalkan kesan yang besar dan positif terhadap kehidupan pelajar – pelajar. Keadaan ini terus berlangsung sehinggalah kerajaan memperkenalkan Program Pensiswazahan Khas Guru dalam Pendidikan Moral yang memfokuskan kepentingan Pendidikan Moral di sekolah menengah pada 2005.

Punca kedua pula berkisar dengan kenyataan S.C.Tham (1980) dalam Abdul Rahman Arof (1986). Menurut beliau, berdasarkan pengalaman beberapa buah negara maju, sungguhpun negara – negara itu telah membebaskan manusia daripada kekurangan meterial, tetapi ia gagal membawa bersama – samanya pengukuhan kehidupan moral dan rohani kerana perindustrian melemahkan desakan – desakan sosial dan moral serta mengurangkan nilai – nilai seperti altruisme, kasih sayang sejagat, belas kasihan dan rasa tanggungjwab. Perindustrian tidak dikatakan menentang nilai – nilai kemanusian dan agama, tetapi jika tersalah arah dan tersalah penggunaannya, ia boleh menghakis nilai – nilai murni.

7. Kesimpulan

Berdasarkan sorotan sejarah sebelum kemerdekaan Tanah Melayu yang dijajah oleh Jepun dan British, dapatlah dikatakan wujud unsur sentimen perkauman yang menggugat toleransi antara kaum di Tanah Melayu ketika itu. Namun, mungkin kerana sikap orang Melayu itu sendiri yang patuh dan taat menyebabkan mereka bertolak ansur dengan bangsa lain bagi memastikan kontrak sosial berjaya dimetrikan agar bebas dari cengkaman jajahan British. Laungan kemerdekaan sudah lama ditunggu sejak hampir 400 tahun yang lalu.


Hampir 12 tahun mengecapi kemerdekaan, Malaysia dicemar dengan tragedi 13 Mei 1969 yang menunjukkan kerapuhan perhubungan antara kaum di Malaysia. Sentimen perkauman ini memusnahkan kontrak sosial dan toleransi antara kaum di Malaysia buat seketika. Namun dengan kebijaksanaan kerajaan yang memperkenalkan beberapa dasar utama seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan seumpamanya yang menjurus kepada pembentukan perpaduan kaum membolehkan kita mengecapi sambutan kemerdekaan yang ke 48 pada tahun lalu. Jelasnya toleransi kaum telah berjaya diperkasakan.

Secara keseluruhannya, dapat dikatakan bahawa corak hubungan toleransi rakyat Malaysia banyak bergantung kepada sejauhmanakah situasi dan keadaan semasa di negara kita memerlukan kerjasama dan menguntungkan kaum – kaum yang terlibat. Ini jelas sekali apabila para pemimpin Tanah Melayu berjaya bergabung tenaga dan menubuhkan Parti Perikatan dan akhirnya memenangi pilihanraya 1955. Kejayaan ini memberi keyakinan kepada British untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, keyakinan tersebut bukan merupakan jaminan kepada hubungan kaum yang ampuh apabila meletusnya Peristiwa 13 Mei 1969 kira – kira selepas 12 tahun Tanah Melayu merdeka. Peristiwa ini menunjukkan bahawa hubungan antara kaum di Malaysia rapuh, mudah pecah dan sangat sensitif kepada sebarang perkembangan dan kepentingan terutamanya kepentingan politik perkauman. Hancurlah toleransi dan perkauman kembali menular.

Sikap dan tindakan yang tidak mendatangkan mudarat dan berbahaya kepada orang lain boleh membawa kepada suasana yang harmoni dalam masyarakat. Jika warna-warni itu sesuai dan elok kombinasinya atau muzik itu antara irama dan lagu selaras maka akan lahirlah keharmonian pada warna dan lagu. Apabila masyarakat hidup ramah mesra, bertolong bantu, belas kasihan, bertegur sapa, prihatin terhadap jiran, nasihat menasihati serta menjaga kepentingan dan hak orang lain sudah pasti masyarakat itu akan hidup dalam suasana harmoni.

Konklusi yang dapat digambarkan ialah toleransi antara kaum di Malaysia masih ampuh dan kukuh hingga ke hari ini. Dengannya kemajuan negara dapat dinikmati dengan lebih baik oleh semua masyarakat. Masyarakat Malaysia dapat hidup aman dan damai serta hak – hak asasi setiap warga negara Malaysia terjamin untuk dikecapi. Namun keperkasaan toleransi masyarakat Malaysia perlulah sentiasa dikawal selia agar anasir – anasir yang cuba menghancurkan keutuhannya dapat disekat dengan lebih awal supaya pada setiap kali 31 Ogos menjelang, rakyat Malaysia dapat bangun dan bersorak dengan bangganya Merdeka !….Merdeka!….Merdeka!.






Rujukan
Abdul Rahman Aroff (1986) Pengenalan Pendidikan Moral. Petaling Jaya : Siri Pendidikan Fajar Bakti.
Dr. Tajul Ariffin bin Nordin dan Dr. Nor’Ain bte Dan (1992) Pendidikan Dan Wawasan 2020 Falsafah, Perguruan dan Persekolahan. Kuala Lumpur : Arena Ilmu Sdn. Bhd.
Ee Ah Meng (1996) Pendidikan Moral (Elektif) Edisi Kedua. Shah Alam : Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Joginder Singh Jessy (1979) Sejarah Tanah Melayu (1400 – 1959). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ranjit Singh Malhi (1985) Panduan Peperiksaan Am Kerajaan. Petaling Jaya : PKS Sdn. Bhd.
Rohani Ab. Ghani dan Zulhaimi Paidi (2002) Kenegaraan Malaysia Isu – Isi dan Perkembangan. Pahang : PTS Publication & Distributors
Shahril @ Chairil Marzuki dan Habib Mat Som (1999) Isu Pendidikan Di Malaysia, Sorotan dan Cabaran. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Tam Yeow Kwai (1996) Pendidikan Moral 1 Konsep dan Pengajaran Pendidikan Moral. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Tang Chee Yee (1993) Negara Kita Untuk Peperiksaan Am Kerajaan. Kuala Lumpur : Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka
Dewan Budaya Mac, April dan Ogos 2004
Dewan Masyarakat Oktober 2005
Dewan Siswa September 2005

Internet
8&fl=0&meta=0&0&0=&b=101&u=www.islamhadhari.net/v2/seminar/seminar_detail.php%3Fnkid%3D9&w=identiti+nasional+bangsa+malaysia&d=KnwCl21aMJ1N&icp=1&.intl=mye



Ini merupakan tugasan Pendidikan Moral. Tugasan ini tidak bermaksud untuk menyinggung mana-mana pihak apatah lagi membangkitkan isu sensitif. Tugasan ini merupakan sebahagian tugasan yang perlu dilaksanakan oleh PKPG Pendidikan Moral. Harap maklum.

1 comment:

  1. Cg Idrus Ahmad, (Saudagar kuih Model Khas), sila ambil bahan dari blog teman ni untuk assingment Sejarah mike. chargenya nasi pataya sepinggan kat tesco, taiping. tq

    ReplyDelete