Thursday, October 15, 2009

My Last Assingment

Assalamualaikum..


Teori Mead

...View all human action or conduct as embedded in a complex network of human relations, and human relations, in turn, embedded in a socio-historical context and subject to a variety of alternative interpretations at all levels...View of organism as active.

...Individual development change as interacting with the socio-historical change...Individual’s behavior must be interpreted in the context of a multiplicity of influences that included both development and socio-historical process.

Therefore, is concerned with the explanation of human action in context.

Kurtines,W. & Gewritz,J.L. 1995, hlm. 279-280

1.0 KONSEP KONSTRUKTIVIS SOSIAL

Pernyataan di atas merupakan gambaran secara umum maksud Social Constructivist atau Kontruktivis Sosial yang diberikan oleh Kurtines, W dan Gewritz, J.L (1995).

Model Mead tergolong dalam kategori tersebut dan merupakan di antara model-model baru dalam kajian psikologi. Berdasarkan penulis yang sama, Mead dikatakan terpengaruh dengan penulisan Darwin tentang organisma tetapi menggunakan pendekatan psikologi untuk menerangkan interaksi manusia. Bagi Mead, organisma ialah manusia yang aktif dan tindakan atau kelakuan manusia ditafsir mengikut konteks ataupun situasi.

Jelasnya, model-model lain yang dikategorikan di bawah kostruktivis sosial seperti Model Carol Gilligan, Tappan dan Brown adalah sama seperti Model Mead yang mengkaji tindakan manusia berdasarkan konteks ataupun situasi. Jelasnya, model-model ini cuba menerangkan tindakan manusia mengikut konteks.


1.1 MODEL MEAD
1.1.1 Latar Belakang Mead
The Internet Encyclopedia of Philosophy (n.d) memperihalkan George Herbert Mead merupakan tokoh falsafah Amerika Syarikat yang terbilang. Beliau telah menerbitkan banyak kertas kerja tentang proses sosial dalam komunikasi dan masyarakat yang berkaitan minda dan diri. Mead lahir pada 27.02.1863 di South Hadley, Massachusetts dan meninggal di Chicago, Illinois pada 26.04.1931. Mead merupakan seorang pelajar yang berminat dalam bidang kesusasteraan, puisi dan sejarah. Semasa menjadi pensyarah di Universiti Chicago, Mead banyak menulis tetapi tidak pernah menerbitkannya. Selepas kematiannya, beberapa orang pelajarnya menyusun semula nota-nota kuliahnya untuk dibukukan. Sebanyak 4 buah buku telah berjaya diterbitkan iaitu The Philosophy of the Present (1932), disusun oleh Arthur E. Murphy; buku Mind, Self, and Society (1934), susunan Charles W. Morris; buku Movements of Thought in the Nineteen Century (1936), susunan Meritt H. Moore; dan buku The Philosophy of the Act (1938), susunan Charles W. Morris.

Dalam buku yang bertajuk Mind, Self, and Society (1934), Mead meletakkan kedudukan masyarakat manusia paling utama dalam skema pemikirannya. Olahan beliau menunjukkan bahawa kehidupan kumpulan manusia merupakan asas bagi kewujudan kesedaran, akal, dunia, dan manusia sebagai organisma yang menguasai diri, dan kelakuan manusia dalam bentuk gagasan kelakuan (Najeemah, 2004, hlm. 140). Buku Mind, Self, and Society merupakan buku yang penting dalam membicarakan Teori Mead.

1.1.2 Teori Sosial Mead
Teori Sosial Mead dihuraikan dalam tiga kompenen utama iaitu komunikasi dan minda, tindakan dan tindakan sosial. Ketiga-tiga komponen ini saling kait-mengait dalam menghasilkan komunikasi signifikan simbol.

1.1.2.1 Komunikasi dan Minda (Communication and Mind)
Minda dan diri individu muncul daripada proses sosial. Mead tidak menganalisis pengalaman manusia melalui psikologi tetapi menganalisisnya daripada “standpoint communication as essential to the social order”. Minda terbit daripada proses komunikasi dan tidak boleh dipisahkan kerana jika terpisah, tidak akan faham apa yang diinteraksikan.
Komunikasi melibatkan bahasa badan (conversation of gestures) dan bahasa (language or “conversation of significant gesture). Mead memperkenalkan idea cenversation of gestures dengan aksi pergaduhan dua ekor anjing. Menurut Mead, dua ekor anjing menghampiri dengan bahasa badan tertentu, bergerak keliling, merangkak dan menunggu peluang untuk menyerang. Setiap ekor anjing menjadi stimulus bagi anjing yang lain. Tindakan balas ini dipanggil unconcious bermaksud bahasa badan yang dipamerkan adalah secara tak sedar (unconscius).
Bahasa pula ialah komunikasi melalui signifikasi simbol (significant symbol) yang bermaksud perbuatan sama dilakukan oleh individu seperti ujaran kepada individu yang diarahkan. Signifikasi simbol biasanya adalah bahasa lisan (usually a vocal gesture). Sebagai contoh, anda meminta seseorang mengambil sebuah kerusi untuk tetamu yang simbol. Anda juga ada keinginan untuk melakukan perkara yang sama, tetapi jika individu yang diarahkan lambat bertindak, anda sendiri yang ambil kerusi tersebut. Tindak balas bahasa badan ialah buat perkara tertentu dan anda ada keinginan untuk melakukan perkara yang sama juga. Di peringkat inilah, komunikasi bahasa badan telah bertukar kepada komunikasi signifikasi simbol.

1.1.2.2 Tindakan (Action)
Minda timbul daripada tindakan sosial dalam komunikasi. Tindakan adalah determining atau penentuan hubungan antara individu dengan persekitaran (situasi). Terdapat dua model tindakan dalam psikologi Mead iaitu the model of the act-as-such dan the model of the social act.
The Act-As-Such (organic activity) adalah tindakan individu dengan persekitaran / dunia. Mead menerangkan ada 4 peringkat perkembangan tindakan, iaitu:

a. The stage of impulse
Bagaimana individu bertindak balas dengan masalah dalam
pengalamannya. Contoh : individu menyedari kehadiran musuh

b. The stage of perception
Bagaimana individu analisis masalahnya. Contohnya : individu
membuat jangkaan arah serangan musuh dan jalan keluar untuk
selamat.

c. The stage of manipulation
Apakah tindakan yang diambil untuk masalah tersebut.
Contohnya : individu yang sedar kehadiran musuh lari ikut jalan
lain yang telah dikenal pasti.

d. The stage of consummation
Bagaimana kesan yang terhasil dari tindakan. Contohnya : individu
selamat daripada musuh setelah melarikan diri.

1.1.2.3 Tindakan Sosial (The Social Act)
Tindakan sosial berkait rapat dengan objek sosial. Tindakan sosial adalah tindakan secara kolektif yang melibatkan satu atau lebih orang. Contohnya : menari dan ekspedisi memburu memerlukan lebih daripada seorang untuk melaksanakannya dan melibatkan stratifikasi masyarakat.

Objek sosial atau social object pula ialah objek kolektif yang bermakna bagi setiap peserta dalam sesuatu tindakan. Contohnya : pakaian dan perabot. Tindakan sosial menghasilkan objek sosial untuk kegunaan harian. Contohnya : kulit binatang dijadikan pakaian oleh orang barbarian dan golongan diraja. Jelasnya, tindakan sosial manusia adalah berpunca daripada komunikasi yang signifikan dan ini diarahkan oleh komunikasi signifikasi simbol.

Alex Inkeles (seperti yang dipetik dalam Cheu Hock Tong, 1985, hlm. 142) mengatakan tindakan sosial adalah unit paling kecil dalam penganalisaan sosiologi. Unit ini merupakan suatu konsep yang kabur dan sukar untuk diukur dan mempunyai pengertian yang sama secara timbal balik di antara pelaku dan individu lain yang dihubunginya. Contohnya kelipan mata. Kalau individu “mengelipkan mata” secara spontan, terutama sekali sebagai suatu pantulan (reflex), tindakan itu adalah bersifat fizikal, bukan sosial. Tetapi kalau individu mengelipkan mata dengan maksud untuk menyampaikan sesuatu idea bahawa “Saya bersetuju dengan anda” kepada seseorang yang individu itu yakin dia memahami isyarat tersebut, maka pergerakan kulit mata individu tadi adalah merupakan “suatu tindakan sosial”. Kalau orang itu bertindak balas dengan mengangguk kepala atau tersenyum, iaitu sebagai jawapan bahawa dia menerima isyarat individu tadi, maka anggukannya juga merupakan “suatu tindakan sosial”.

1.1.3 Interaksi Simbolik
Mead ialah pengasas interaksi simbolik. Max Weber (seperti yang dipetik dalam Haralambas & Holborn, 1990, hlm. 798) mengatakan interaksi simbolik ialah “...are concerned with explanation social actions in terms of meaning that individual give to them...tend focus on small-scale interaction situations”. Interaksi simbolik menumpukan perbincangannya kepada sifat-sifat semula jadi interaksi, iaitu aktiviti sosial yang bercorak dinamik yang terdapat dalam kalangan individu. Interaksi simbolik dikatakan dinamik kerana segala yang berkaitan dengan manusia dianggap sebagai satu proses yang sentiasa berubah. Apabila seseorang itu berinteraksi, dia akan melibatkannya dirinya, orang lain, simbol perspektif, pengalaman, minda dan kebolehan menentukan peranannya. Pengalamannya yang lalu akan menolongnya mendefinisikan situasi yang ada serta meneliti masa depannya. Dengan kata lain, interaksi merupakan satu proses yang dinamik kerana definisi, interpretasi dan tindakan sering berubah-ubah.

Mead (seperti yang dipetik dalam Fatimah Daud, 1992, hlm. 77) mengatakan simbol adalah satu kelas objek sosial. Dalam dunia ini terdapat banyak objek. Namun tidak semua objek itu dianggap objek sosial. Tetapi ia akan menjadi objek sosial jika bunga melambangkan kasih jika dihadiahkan kepada seseorang. Simbol adalah objek sosial yang digunakan untuk dijadikan wakil dan alat komunikasi. Simbol juga mempunyai erti yang besar bagi seseorang. Misalnya, bendera adalah simbol bagi satu-satu negara. Mead menyebut simbol itu isyarat “bermakna” atau “bererti”. Dengan kata lain, ia merujuk kepada simbol yang membawa makna kepada kedua-dua pengguna dan orang lain yang dikomunikasinya.

Ringkasnya, simbol terdapat dalam bentuk-bentuk berikut :

a. Perkataan
Ia mewaklili objek fizikal, perasaan, idea dan nilai.

b. Perlakuan
Ia meliputi apa yang kita buat, beritahu, fikir, lihat dan niat. Niat menjadi simbolik jika ada makna untuk diri kita dan dikaitkan pula dengan orang lain. Misalnya, seseorang pensyarah berniat memberitahu pelajar-pelajarnya bahawa kuliah hari itu penting kerana ia akan memberi kebaikan kepada pelajar-pelajarnya.

c. Objek
Sesetengah objek ada kualiti simbol. Misalnya Mercedes melambangkan simbol status.

d. Bahasa
Bahasa adalah satu simbol.
Interaksi simbolik yang diperkenalkan oleh Mead terangkum dalam tiga konsep yang digunakan iaitu minda (mind), diri (self) dan masyarakat (society).

1.1.3.1 Minda
Minda tidak sama dengan otak. Semua makhluk ada otak tetapi tidak semua ada minda. Minda muncul hasil daripada memanipulasi simbol-simbol melalui proses pembelajaran dan pembinaan diri. Oleh itu, Mead menumpukan perbincangan kepada proses interaksi minda manusia dalam bentuk interaksi dengan dirinya, dengan orang lain dan dengan persekitarannya. Proses interaksi itu dinyatakan dalam bentuk simbolik, iaitu manusia akan mengucapkan kata-kata atau menyatakan perasaannya berdasarkan tafsiran dan pemahamannya.

Tafsiran dan pemahaman minda terhadap persekitaran dan masyarakat wujud hasil daripada proses sosialisasi diri. Fungsi minda adalah mewujudkan diri. Minda adalah manusia yang melakukan interaksi simbolik dengan dirinya. Di samping kita bercakap dengan orang lain, kita juga bercakap dengan diri kita sendiri. Ini disebut aktiviti minda. Minda juga didefinisikan sebagai tindakan. Tindakan menggunakan simbol dan mengarahkan simbol-simbol kepada diri. Masyarakat adalah alat penting bagi perkembangan minda, diri dan simbol. Apabila berfikir, bererti kita terlibat dengan tindakan minda. Minda manusia akan menghasilkan kelakuan serta tindakan tertentu apabila individu menghadapi keperluan-keperluan tertentu.

Dalam proses interaksi, individu akan mendapat pelbagai jenis tabiat-tabiat tertentu yang menggambarkan maksud-maksud serta makna yang tertentu pula. Jenis tindakan oleh seseorang individu itu pula mempunyai makna dan maksud sehingga dalam proses interaksi, makna itu menjadi mantap dan bersifat universal, iaitu difahami oleh setiap individu yang berinteraksi. Misalnya, lampu hijau bererti semua orang boleh berjalan, atau lambang ‘V’ bererti berjaya. Keadaan ini dikatakan oleh Mead sebagai isyarat konvensional. Makna itu akan menjadi biasa bagi semua golongan yang sedang berinteraksi. Apabila individu dapat memahami tindakan dan maknanya, maka individu dapat berinteraksi di antara satu sama lain dengan licin dan dapat memainkan peranan masing-masing tanpa sebarang kekeliruan.

Seseorang individu yang dapat memahami setiap jenis dan corak kelakuan dirinya dan dapat disampaikan pula kepada orang lain serta dapat pula mengemukakan tindakan alternatif, maka individu itu dianggap sudah mempunyai minda. Dengan kata lain, minda manusia berkeupayaan untuk memberitahu apa-apa yang difikirkannya dan memberi makna ke atas tindakan dan kelakuan orang lain. Setiap kelakuan itu pula mempunyai simbol tertentu.


1.1.3.2 Diri
Minda adalah interaksi simbolik dengan diri. Ini kerana semua tindakan yang dilakukan oleh diri adalah tindakan minda. Kadang-kadang kita terfikir apa orang lain kata tentang kita, atau apa kita kata tentang mereka. Memahami orang lain dalam satu-satu keadaan bererti kita terlibat dengan aktiviti minda. Perkataan mereka, tindakan mereka, niat mereka, motif mereka dan sifat-sifat lain yang ditunjukkan kepada kita untuk ditimbangkan dan diinterpretasi oleh minda. Dengan kata lain, minda manusia dapat memahami pelbagai jenis kelakuan dan kejadian-kejadian di luar dirinya. Minda juga dapat menilai keupayaan dirinya sendiri dan menjadikan dirinya sebagai objek yang dinilai pula oleh orang lain. Oleh itu individu akan mempunyai imej dirinya sendiri dan juga tanggapan tentang dirinya apabila dia berhubung dengan orang lain.

Apabila tanggapan imej menjadi mantap dan kekal, maka timbul satu keadaan yang dikatakan sebagai makna terhadap diri sendiri iaitu seseorang sudah boleh membayangkan kewujudannya tersendiri dan terasing daripada orang lain. Manusia juga akan mempunyai kesedaran apabila ada masalah. Mead memberi empat peringkat pembinaan diri dalam diri kanak-kanak melalui proses memain peranan orang lain. Peringkat-peringkat itu adalah :

a. Peringkat Persediaan
Dalam peringkat ini kanak-kanak meniru kelakuan orang dewasa. Misalnya apabila itu mengajar anaknya menyebut ma, dia akan menyebut ma. Interaksi dalam peringkat ini lebih berbentuk tiruan dan kurang melibatkan fahaman simbolik. Tetapi apabila seseorang kanak-kanak itu telah faham bahawa dia berbeza daripada orang lain, ada identiti dan nama tersendiri dan ini dilafazkan pula dalam bentuk perkataan dan bahasa, maka simbol dirinya muncul. Contohnya, seorang kanak-kanak yang mengetahui dan faham bahawa dirinya Ahmad dan dia berbeza daripada kanak-kanak lain.

b. Peringkat Main
Peringkat ini berlaku setelah penggunaan bahasa diperoleh. Dalam peringkat ini seorang kanak-kanak mula mengambil dan meniru peranan-peranan yang dilakukan oleh orang lain dan menganggap bahawa kelakuan itu sebagai sebahagian daripada hak dan unsur-unsur untuk kewujudan dirinya. Mead menggelar peringkat ini sebagai peringkat main kerana seorang kanak-kanak itu hanya dapat memahami perspektif dari seorang individu sahaja bagi satu masa. Contohnya, seorang kanak-kanak mengambil dan meniru peranan bapa, ibu atau gurunya dan berlagak seperti mereka itu.

Dengan kata lain, seorang kanak-kanak meniru perspektif individu tertentu yang digelar oleh Mead sebagai signifikan orang lain. Signifikan orang lain adalah model peranan yang menyediakan pola-pola perlakuan untuk membentuk kelakuannya sendiri. Misalnya, seorang kanak-kanak akan mengenal pasti individu-individu yang penting baginya untuk menerima nasihat, arahan, untuk dihormati dan ditakuti. Jadi melalui model peranan itu seseorang kanak-kanak membina kebolehannya untuk berkelakuan seperti seorang lain. Seorang kanak-kanak perlukan panduan untuk mengukur dirinya bagi dia berjaya di dalam peringkat ini. Ini penting dalam proses mendewasakan dirinya dan menjadikannya sebahagian daripada keperibadiannya nanti.

c. Peringkat Permainan
Di sini kanak-kanak akan mendewasakan dirinya dengan memahami masyarakat, organisasi, kumpulan serta peraturan-peraturan dan persepktif mereka. Pada peringkat ini kanak-kanak sudah berupaya memainkan peranan dan kelakuan masyarakat di luarnya sebagai sebahagian daripada dirinya sendiri. Dengan kata lain, dia memasukkan kesemua signifikan orang lain ke dalam satu diri, iaitu dirinya. Dalam peringkat ini, generalisasi orang lain memainkan peranan penting kerana kanak-kanak itu akan menyedari kewujudan orang lain di samping dirinya dan mengambil kira pula sikap, nilai dan desakan orang lain terhadap kelakuannya. Ini bererti kanak-kanak yang telah membentuk peribadinya mengambil perhatian kesilapan orang lain dalam kelakuannya sendiri. Melalui proses ini kanak-kanak itu dapat berinteraksi sebagai anggota masyarakat sepenuhnya.

d. Peringkat Kumpulan Rujukan
Peringkat ini banyak berlaku dalam masyarakat bandar yang moden. Individu mempunyai ramai kumpulan rujukan yang mengongsi perspektif. Kumpulan rujukan ini adalah berpecah-pecah kerana manusia sering mengubah cara berinteraksi bergantung kepada jenis kumpulan rujukan yang diinteraksinya. Manusia akan definisikan dirinya dahulu sebelum dia memulakan perbualannya. Dia akan memikirkan kehidupannya dan dirinya apabila dia berinteraksi. Manusia akan berubah-ubah cara (perspektif) apabila dia berinteraksi dengan kawan, keluarga, pekedai, orang asing atau kumpulan-kumpulan tertentu. Contohnya, seseorang yang akan berinteraksi dengan seorang menteri akan menggunakan persepktifnya yang bercorak merendah diri, bercakap dengan sopan, banyak senyum dan lebih banyak mengiakan apa yang dicakapkan oleh menteri itu (jika statusnya lebih rendah daripada menteri itu).

Dalam konteks yang lebih luas pula, orang Timur lebih banyak menggunakan sifat-sifat simbolik apabila berinteraksi. Ciri-ciri simbolik mereka itu berkait rapat dengan budaya Timur yang lebih bersifat merendah diri, malu dan tidak mudah berterus terang. Jika dibandingkan dengan budaya orang Barat yang lebih suka berterus terang apabila berinteraksi, orang Timur pula jauh lebih berselindung dan tidak berterus-terang. Misalnya, orang Melayu akan menolak jemputan kawan untuk diberi minuman atau apa-apa sahaja walhal dalam hatinya dia inginkan benda-benda tersebut. Ini jelas apabila dipaksa sedikit dia akan mengambilnya. Adalah dianggap kurang sopan dari segi adat Timur jika seseorang itu terus mengambil apa sahaja yang ditawarkan kepadanya. Jadi bahasa yang digunakan oleh orang Melayu dalam interaksi itu harus diinterpretasikan mengikut suasana dan fahaman pihak yang terlibat pada masa itu. Sebaliknya bagi orang Inggeris, mereka akan menjawab yes jika mahu dan no jika tidak mahu.

Konsep diri juga dilihat dalam bentuk I dan me. Bagi Mead, I (saya) merupakan tindak balas organisma terhadap sikap orang lain, me (diri saya) pula ialah set tersusun sikap orang lain pada pandangan seseorang. Sikap orang lain menghasilkan diri saya (me) yang teratur dan seseorang yang bertindak balas terhadapnya disebut saya (I). Oleh itu I dianggap sebagai subjek dan me sebagai objek. Me adalah sosial diri yang muncul hasil daripada interaksi seseorang dengan orang lain. Bagi Mead, I ialah individu yang aktif yang memberi rangsangan kepada tindakan. Dengan kata lain, I ialah agen yang aktif berfikir, berilmu, merancang dan bertindak. Mengikut Mead lagi, disebabkan I, maka kita kadang-kadang tidak sedar siapa kita, dan kadang-kadang kita dikejutkan dengan tindakan-tindakan kita sendiri. I adalah manusia yang bertindak, menjadi punca kebebasan dan kreatif.

The ‘me” is your definition of yourself in a specific social role. For example you might see yourself as a ‘good father’ or a ‘loyal friend’. The ‘I’ is your opinion of yourself as a whole. The ‘I’, which can also be called your ‘self concept’, is built up from the reactions of others to you, and the way you interpret hose reactions. For example, if you see yourself as a cowardly on the basis of the self-concept you have built up, you are unlikely to react bravely in dangerous situations. Haralambas & Holborn, 1990, hlm. 800


1.1.3.3 Masyarakat
Masyarakat didefinisikan sebagai individu-individu yang sedang berinteraksi mengambil peranan, berkomunikasi, menginterpretasi antara satu sama lain serta sama-sama menyesuaikan tindakan mereka, mengarah dan mengawal diri sendiri dan mengongsi perspektif. Tiap-tiap individu dalam masyarakat bertindak bersama dalam menjalankan tugas dan peranan untuk kepuasan satu sama lain. Tiap-tiap individu yang berinteraksi itu tidak semestinya mempunyai motif dan tujuan yang sama. Misalnya, seorang pekerja dan majikan yang sedang berinteraksi bertindak bersama tidak semestinya mempunyai tujuan yang sama.

Interaksi antara individu-individu dalam masyarakat merupakan punca segala perkembangan yang menggunakan lambang, kelakuan dan makna tertentu yang bercorak sejagat. Perhubungan di antara diri dengan orang lain dalam masyarakat akan membentuk satu rangkaian perhubungan dan pergaulan yang sering dan stabil sehingga menjadi pula rangkaian peranan. Himpunan segala peranan itu akan diinstitusikan. Melalui institusi inilah masyarakat bergerak, berhubung dan bertindak.

Mead juga melihat masyarakat sebagai individu-individu yang terikat dengan tindakan bersama. Tiap-tiap ahli masyarakat bekerja sama antara satu sama lain bagi mengatasi masalah yang dihadapi. Oleh itu tiap-tiap individu berkebolehan mengambil alih peranan orang lain memahami tindakan orang lain dalam usaha menyelaraskannya dengan tindakan sendiri.

Dapatlah dirumuskan bahawa masyarakat pada umumnya terdiri daripada generalisasi orang lain yang berinteraksi di antara satu sama lain secara selaras. Ia dikatakan selaras kerana interaksi itu berlaku melalui lambang-lambang dan makna-makna yang tetap terhadap kelakuan masing-masing. Oleh itu, di antara individu dan masyarakat itu terdapat minda dan diri sebagai faktor-faktor perantaraan yang penting untuk menggabungkan setiap individu dalam lingkungan masyarakat itu.

1.2 Implikasi Sosiologi Pemikiran Mead
Berdasarkan penulisan Najeemah Mohd Yusuf (2004), yang bertujuan menjelaskan tentang sifat semula jadi masyarakat dari sudut pandangan Mead jelas menggambarkan bahawa kehidupan manusia merupakan asas bagi kewujudan kesedaran, akal, dunia, objek, dan manusia sebagai organisma yang menguasai diri, dan kelakuan manusia dalam bentuk gagasan kelakuan.

Perkara utama yang dibincangkan oleh Mead dalam Teori Sosialnya ialah tentang diri, tindakan, interaksi sosial, kebendaan dan tindakan bersama yang relaven dengan skema pemikiran manusia yang dilihat oleh Mead sebagai satu struktur dan bukan sebagai satu proses. Justeru, Mead menolak anggapan psikologi dan sosiologi tradisional yang mengatakan manusia memiliki akal dan kesedaran sebagai “pemberi” asli iaitu :

a. Bahawa mereka tinggal di dalam dunia objek yang prawujud dan terbentuk sendiri.
b. Tingkah laku mereka terdiri daripada respons terhadap objek tersebut, dan
c. Kehidupan kumpulan terdiri daripada kaitan tindakan organisma manusia tersebut.

Dalam usaha Mead memberi sumbangan yang cemerlang dalam pemikiran manusia, beliau tidak menerangkan skema teori masyarakat manusia. Namun, skema seperti itu tersirat dalam kerja beliau, seperti yang dinyatakan di dalam buku Mind, Self and Society. Mead berkata (seperti yang dipetik dalam Najeemah Mohd Yusof, 2004, hlm. 140) berkata :

Consciousness of meaning is that which permit the individual to respond to her own gesture as the other responds. A gesture, then, is an action that implies a reaction. The reaction is the meaning of the gesture and points toward the result of the actions initiated by gesture. Gesture become significant symbols when they implicitly arouse in an individual making them the same responses which they explicitly arouse, or are suppose to arouse, in other individuals, the individuals to whom they are addressed.

Skema perlu dibentuk dengan mengesan implikasi masalah utama yang dianalisis oleh Mead. Masalah utama yang akan dipertimbangkan ialah :

a. Diri
Manusia adalah objek untuk dirinya sendiri, berkomunikasi dengan dirinya dan bertindak terhadap dirinya. Diri adalah satu proses dan bukannya satu struktur.

b. Tindakan
Dengan membuat arahan terhadap diri dan dengan mentafsir perkara yang telah diarahkan, manusia perlu berhadapan atau menyatakan tindakannya.

c. Interaksi sosial
Terbahagi kepada dua iaitu interaksi simbolik dan interaksi tidak simbolik. Interaksi tidak simbolik ialah tindakan langsung manusia terhadap isyarat atau tindakan orang lain dan interaksi simbolik pula ialah manusia bertindak hasil tafsiran makna terhadap isyarat

d. Objek
Apa-apa saja yang dijadikan rujukan oleh manusia. Oleh sebab objek ialah
sesuatu yang direka, maka manusia boleh mengawal tindakannya terhadap
objek. Manusia tidak terikat dengan objek.

e. Tindakan bersama
Tindakan kolektif yang besar yang digabungkan dengan cara menyesuaikan semua jenis perlakuan peserta yang berbeza.

Berdasarkan penulisan Najeemah Mohd. Yusof juga, terdapat dua belas implikasi sosiologi pemikiran Mead, iaitu :
a. Masyarakat manusia bukan sebagai struktur yang mantap tetapi sebagai manusia yang memenuhi kehendak hidup mereka.
b. Tindakan sosial terbentuk bukan daripada struktur sosial tetapi dibentuk oleh pelaku.
c. Pembentukan tindakan ini bukan sebagai faktor sosial yang dilahirkan melalui organisma manusia tetapi sebagai binaan yang dibina oleh pelaku berdasarkan perkara yang diamatinya.
d. Hidup berkumpulan bukannya sebagai pelepas atau pernyataan struktur sosial tetapi sebagai satu proses pembinaan tindakan bersama.
e. Tindakan sosial sebagai suatu yang mempunyai pelbagai kerjaya yang boleh diubah, bukannya sebagai suatu yang terhad dalam lingkungan alternatif pengesahan atau melencong daripada struktur sosial mantap yang telah ditetapkan.
f. Interaksi antara bahagian dalam masyarakat bukan sebagai pengaruh secara langsung antara satu bahagian terhadap bahagian yang lain tetapi sebagai perantaraan sepanjang pentafsiran yang dibuat oleh manusia.
g. Masyarakat bukan sebagai satu sistem sama ada dalam bentuk yang statik, berubah atau bergerak atau sebarang bentuk keseimbangan tetapi sebagai sejumlah besar tindakan bersama, banyak yang berkait rapat, banyak yang tidak berkaitan langsung, banyak gambaran awal dan pengulangan, yang lain dibentuk dengan arah baru dan kesemuanya dibuat untuk memenuhi kehendak peserta bukannya keperluan sistem.
h. Sosialisasi telah menukar sifat manusia supaya memainkan peranan secara efektif.
i. Kawalan sosial menjadi penting dan kemestian hanyalah kawalan diri.
j. Kehidupan manusia secara berkumpulan lebih dilihat sebagai sesuatu yang sentiasa tidak lengkap dan masih dalam pembinaan daripada berpindah dari satu keadaan yang lengkap ke satu keadaan lain.
k. Kecelaruan sosial tidak dilihat sebagai pemecahan struktur yang sedia ada tetapi sebagai ketidakupayaan untuk mengarahkan tindakan secara efektif dlm menghadapi situasi yang diberikan.
l. Tindakan sosial mempengaruhi masa depan seseorang, maka ia dianggap mempunyai dimensi sejarah yang harus diambil kira untuk memberikan pemahaman yang mencukupi.

1.3 Rumusan Model Mead
Teori sosial dan interaksi simbolik yang diperkenalkan oleh Mead menumpukan kepada perbincangannya kepada sifat-sifat semula jadi interaksi, iaitu aktiviti sosial yang bercorak dinamik yang terdapat dalam kalangan individu. Apabila seseorang itu berinteraksi, dia akan melibatkan dirinya, orang lain, simbol perspektif, pengalaman, minda dan kebolehan menentukan peranannya.
Memandangkan tindakan sosial mempengaruhi masa depan seseorang, maka ia dianggap mempunyai dimensi sejarah yang harus diambil kira untuk memberikan pemahaman yang mencukupi. Maka tepatlah kenyataan Kurtines dan Gewritz (1995, hlm. 291) tentang Teori Sosial Mead, iaitu :

The key idea in Mead’s psychology is that persons are objects to themselves : one can act toward the self in exactly the same sense as one can act toward another social object, and this is indeed what it means to be a self. Most important is the ability to converse with the self, because this is how humans construct meaning. In this way, they actively create meaning for all objects of thought, including their own meaning. Moreover, because behavior is guided by these meaning rather than by raw stimuli, humans construct action rather than emitting response.

Secara keseluruhannya, Teori Sosial Mead menjelaskan penilaian terhadap perkembangan moral manusia perlu dinilai dalam konteks sosial yang melibatkan komunikasi interaksi simbolik sehingga menjadi komunikasi signifikan simbol dan konvensional yang difahami oleh setiap pelaku-pelaku yang terdapat dalam masyarakat. Bermula daripada komunikasi bahasa badan hingga komunikasi lisan, setiap tindak balas yang difahami oleh individu-individu yang berinteraksi akan menentukan nilai moralnya.


Rujukan
Alex Inkeles. (1985). Apa itu sosiologi? : Suatu pengenalan mengenai disiplin dan
profesion. (Cheu Hock Tong. Terj). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Fatimah Daud. (1992). Pengenalan teori-teori sosiologi. Kuala Lumpur : Fajar Bakti.

Haralambas, M. & Holborn, M. (1990). Sociology themes and perspectives (3rd ed).
London : Unwin Hyman Limited.

Kurtines, W. & Gewritz, J.L. (1985). Moral development : An introduction. United State
of America : Allyn & Bacon.

Najeemah Mohd. Yusof. (2004). Implikasi sosiologi pemikiran George Herbert Mead.
Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Jil. 19, 139-157.

The Internet Encyclopedia of Philosophy. (n.d). George Herbert Mead (1863-1931).
Capaian pada 7.5.2008 dari
http://www.marxists.org/reference/subject/philosophy/works/us/mead2.htm


Bibliografi

Lee, D. & Newby, H. (1987). The problem of sociology : An introduction to the
discipline. London : Hutchinson Education.


Assingment ini cukup mencabar minda....tapi berjaya juga dihasilkan. Alhamdulillah
WASSALAM..AU REVOIR








1 comment:

  1. Salam, kepada rakan-rakan PKPG UUM yang membaca assigment ni, saya masih ingat lagi kat kome..fishon, drahman, edmund, rezam dan yang lain. Tq. harap nanti dapat jumpa lagi.

    ReplyDelete